Nadia Heng Miss World Malaysia 2010: Bukan sekadar tayang tubuh.
Ratu Cantik Turki, Ratu Cantik Vietnam, Nadia (tengah) bersama Ratu Cantik Luxemborg dan Ratu Cantik Mexico.
DULU dia hanya gadis yang bekerja sebagai eksekutif perhubungan awam di sebuah syarikat pengiklanan terkenal di Kuala Lumpur dan sering berhubung dengan media untuk mempromosikan sesuatu produk.
Walaupun memiliki ketinggian serta bakat semula jadi sebagai peragawati, dia langsung tidak pernah terbabit dalam mana-mana pertandingan ratu cantik walaupun sering diminta sahabat baiknya.
Alasannya dia tiada masa dan komited dengan tugasan diberikan ketua menyebabkan dia mengabaikan pujukan berkenaan.
Segalanya bermula apabila usianya sudah mencecah 25 tahun pada 16 Jun lalu lantas mendorong gadis berdarah campuran Cina dan Eropah ini mencuba nasib menyertai uji bakat Ratu Cantik Malaysia Antarabangsa 2010.
Itu pun kerana usianya sudah mencapai tahap kelayakan terakhir untuk pemilihan ratu cantik.
"Saya berani mencuba kerana ingin menilai kemampuan diri selebihnya mengubah persepsi masyarakat mengenai pertandingan ini.
"Apabila usia mencecah 25 tahun saya rasa inilah masa paling sesuai memandangkan tempoh usia ini adalah syarat kelayakan untuk menyertainya. Apabila usia sudah 26 tahun saya tidak berpeluang menyertainya lagi," kata pemilik nama Nadia Heng ini.
Gadis berkulit cerah yang memiliki wajah persis wanita Eropah ini fasih berbahasa Melayu dan Mandarin kerana dibesarkan di kampung kelahirannya di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dia mengakui setiap wanita mempunyai impian bergelar Cinderella atau wanita cantik yang menjadi perhatian dunia. Tetapi ia bukan kecantikan semata-mata kerana intelektual yang mampu mengubah pandangan masyarakat terhadap pertandingan yang menguji minda dan kecantikan ini.
"Saya akui pertandingan ini mula mengubah persepsi saya mengenai pertandingan ratu cantik yang mendapat liputan masyarakat dunia. Dulu saya berpandangan ratu cantik hanya sekadar memperagakan pakaian serta tubuh badan namun apabila hadir selama sebulan di Sanya, China, ia mengubah pandangan saya terhadap pertandingan yang menghimpunkan peserta dari seluruh dunia ini.
"Selain menjadi ikon kecil memperkenalkan Malaysia di mata dunia saya berpeluang mempromosikan keunikan budaya yang dianuti masyarakat berbilang kaum di sini. Saya sangat bangga menjadi ratu kecil Malaysia," ujarnya.
Selepas kemenangan di Malaysia, bermula 1 Oktober sehingga 30 Oktober lalu Nadia bersama 110 ratu cantik diminta menghadiri program yang diatur pihak penganjur di Sanya, China.
Memang mendebarkan kerana ini pengalaman pertama bersama 110 ratu dari seluruh dunia.
Peluang ini digunakan sebaiknya untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain di samping mempromosikan Malaysia kepada mereka.
Menurut Nadia, sepanjang sebulan di China banyak aktiviti diadakan seperti melawat tempat bersejarah di Beijing, Mongolia, Shanghai seterusnya ke Sanya.
"Ramai yang bertanya mengapa program mengambil masa terlalu lama. Ini kerana sepanjang sebulan di China banyak aktiviti diadakan seperti melawat Tembok Besar China di Beijing, ke Mongolia satu kawasan tercantik di China dengan udara yang segar dan bersih juga melawat Shanghai, tempat bersejarah yang memiliki keunikan tersendiri.
"Ini untuk mempereratkan lagi hubungan antara satu sama lain selain melihat sejauh mana setiap ratu mampu berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.
Nadia juga tidak pernah membayangkan dapat berkumpul bersama seluruh wanita cantik dari seluruh dunia yang memiliki perbezaan budaya, agama, warna kulit dan bahasa. Namun inilah yang menambah keunikan kepada pertandingan berkenaan kerana semua wanita bersatu hati tanpa mengira negara demi satu pertandingan dunia.
"Saya menggunakan peluang yang ada untuk berbual dengan semua peserta dari berlainan negara. Malah, kemampuan saya bertutur bahasa Mandarin menjadi kelebihan untuk menterjemahkannya kepada ratu cantik lain yang tidak memahaminya," katanya.
Selain itu, menurut Nadia, pakaian tradisional berkonsepkan kebaya kontemporari daripada Carven Ong memukau tetamu manakala gaun petang daripada Karl Ng menggunakan motif batik memberi peluang kepada Nadia untuk menceritakan mengenai keindahan batik yang menjadi lakaran pada motif yang ditampilkan.
"Ramai memuji kedua-dua pakaian daripada Carven dan Karl yang jelas mempunyai keunikan tersendiri daripada segi keindahan serta budaya. Saya sangat berbangga apabila dapat berdiri bersama seluruh ratu dunia, sekali gus memperkenalkan budaya Malaysia di mata dunia," katanya.
Dua minggu sebelum berakhirnya pertandingan semua ratu dibawa ke Sanya yang menjadi tempat penentuan untuk malam terakhir. Sanya adalah sebuah pulau yang cantik dan menarik untuk diduduki.
Menariknya, Nadia memberitahu nenek moyangnya berasal dari Sanya yang memberikan kelebihan kepadanya apabila ramai penduduk Sanya memberikan sokongan moral kepadanya.
Walaupun tidak memenangi sebarang anugerah namun penyertaan ke Pertandingan Ratu Cantik Dunia 2010 memberi pengalaman paling bermakna pada diri Nadia.
Antaranya selepas ini, dia ingin bergabung dengan mana-mana badan bukan kerajaan bagi menjayakan projek amal memulihara alam sekitar serta memberikan pendidikan kepada kanak-kanak terpinggir.
Ratu Cantik New Zealand yang menaja kanak-kanak di wilayah Timor Leste, misalnya sangat menyentuh hati begitu juga dengan Ratu Kenya yang menjalankan projek mengenai penyakit di Afrika.
Ia bukan saja memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya menjaga kebersihan, tetapi juga wanita lain mengenai kewujudan penyakit berbahaya ini.
"Program sebegini amat saya nantikan. Ini kerana sejak dulu saya sangat sukakan alam sekitar. Penjagaan secara telus menerusi badan bukan kerajaan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga alam sekitar yang semakin diabaikan.
"Saya juga ingin memberi pendidikan percuma kepada kanak-kanak terpinggir terutama luar bandar yang tidak dapat memiliki pendidikan sempurna.
"Hanya dengan pendidikan saja mampu mengubah masyarakat menjadi lebih berilmu pada masa akan datang," katanya yang mempunyai pasangan kembar tidak seiras bernama Natalie Heng.
Dia dan pasangannya, selain mempunyai wajah tidak seiras memiliki bakat serta kebolehan berbeza.
Namun Nadia dan Natalie sangat rapat kerana dilahirkan hanya berbeza lima minit saja.
Nadia yang mendapat sokongan padu daripada ibu bapa dan kakaknya mengakui kehidupannya bakal berubah selepas bergelar Ratu Cantik Malaysia kerana dia sudah bersedia untuk menceburi bidang hiburan sama ada lakonan atau peragaan seterusnya melakukan kerja amal.
Pada masa sama, gadis ini amat mengagumi Ratu Cantik Dunia 1998, Lina Teoh yang berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menduduki tempat kedua dalam pertandingan itu.
"Saya masih ingat ketika pertandingan, saya masih bersekolah dan menonton televisyen di rumah. Memang sukar untuk menerima gelaran Ratu Cantik Dunia namun Lina membuktikan yang dia mampu melakukannya. Saya sangat berbangga atas pencapaian anak Malaysia seperti Lina," katanya.
>Profil
NAMA: Nadia Heng
TARIKH LAHIR: 16 Jun 1985
BERAT: 51 kilogram
TINGGI: 168 sentimeter
ASAL: Port Dickson Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) 2004 - 2006, Diploma Perhubungan Awam Kolej Taylor's (2003 - 2004) - Anugerah Pelajar Terbaik dalam jurusan Perhubungan Awam dan Komunikasi
TELEVISYEN:
Iklan Fishermen's Friend - April 2009
Iklan Gintel - Mac 2009
Iklan Spritzer - Mei 2008
Pengacara rancangan Health Blitz RTM 2 (13 Episod) - Mac 2008
Ntv 7 Breakfast Show -April 2007
PERTUNJUKAN FESYEN .
Pertunjukan Fesyen Tomei Alamanda Putrajaya, Pavilion, Sungei Wang dan 1 Utama - Ogos dan September 2008
http://www.hmetro.com.my/articles/Bukansekadartayangtubuh/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment