Ulasan Ringkas Pertandingan Ratu Cantik Malaysia/Dunia 1995.

Ratu Cantik Malaysia/Dunia 1995

Pertandingan tahun ini berlangsung pada 18 Ogos di Hotel Legends Kuala Lumpur. Marketing Solutions, salah satu penaja rasmi pertandingan menganjurkan “teleguess” iaitu pertandingan meneka pemenang. Orang ramai boleh meneka pemenang dengan menelefon talian yang disediakan dan menjawab setiap soalan yang diberikan iaitu
1- Siapakah pemenang Ratu Malaysia tahun ini, 2- Siapakah pemenang kedua, 3- Siapakah pemenang ketiga, 4- Siapakah pemenang keempat, 5- Siapakah yang bakal memenangi Miss Polignac Elegant, 6- Siapakah bakal memenangi Miss Physique.

Pemanggil yang berjaya meneka dengan tepat semua pemenang akan menerima sebotol Polignac X.O bernilai RM300 manakala pemanggil dengan lima tekaan yang betul memenangi Polignac VSOP bernilai RM110. Pemanggil dengan empat tekaan tepat menerima baucer tunai Peter Stuyvesant Travel bernilai RM100 dan pemanggil dengan tiga tekaan tepat memenangi baucer National Salon of Elegance bernilai RM100.

Seramai 20 peserta akhir mengambil bahagian dan mereka mewakili negeri masing-masing.Mereka adalah Tisha Seranie Tay dan Samantha Sumner* yang mewakili Sarawak, Evon Chew dan Trincy Low Ee Bing* yang mewakili Pulau Pinang, Hasnul Azni Che Hassan dan Evon Chee* mewakili Kedah, Karen John Bion dan Deffany Sevelan) mewakili Sabah, Eleanor Cheng* dan Monica Foong mewakili Selangor, Chris Lim* dan Zabedah Ali mewakili Pahang, Diana Shah* mewakili Melaka, Chong Lee Yun dan Chua Chai Wen mewakili Johor, Chellene Ng dan Jennifer Buster mewakili Wilayah Persekutuan, Caryna Chan dan Sabarina Khairuddin* mewakili Perak manakala Annie Lim* mewakili N. Sembilan.

*pemenang peringkat negeri

Gelaran sampingan pertama yang dipertandingkan ialah Miss National Salon of Elegance dan ia dimenangi oleh Eleanor Cheng. Acara ini diadakan di National/Panasonic Square KL Plaza, Bukit Bintang. Beliau memenangi produk kesihatan dan kecantikan tajaan National Panasonic benilai RM1000. Selain National Panasonic Technic, Polignac Cognac adalah merupakan penaja utama pertandingan manakala Alaric Production bertindak sebagai penganjur menggantikan D’Touch Promotions untuk acara tahun ini. Hotel Legends pula menaja penginapan para peserta dan penganjur pertandingan.

Gelaran Ratu Cantik Malaysia/Dunia kali ini dimenangi oleh Trincy Low Ee Bing yang mewakili Pulau Pinang. Berketinggian 5 kaki 9 inci, beliau juga memenangi gelaran sampingan Miss Polignac Elegant dan memenangi hadiah berupa produk Polignac dan wang tunai serta trofi. Hadiah untuk Ratu Malaysiap kali ini ialah wang tunai RM20,000, selempang, trofi, produk National Salon of Elegance bernilai RM2000, set kosmetik Kose bernilai RM1000, setahun khidmat dandanan dan rawatan rambut percuma tajaan Pro-Trim, produk penjagaan rambut Zotos, produk Polignac, penginapan tiga hari dua malam percuma di Hotel Legends Cherating, gaun petang tajaan Bill Keith bernilai RM1500, tiket penerbangan pergi balik ke Afrika Selatan beserta penginapan di Sun City dan mewakili negara ke pertandingan Miss World 1995 pada bulan November.

Pemenang kedua pula ialah peserta dari Kuala Lumpur berusia 21 tahun iaitu Chellene Ng. Beliau menerima RM5000 tunai, produk Polignac, trofi, selempang, barangan National Salon of Elegance, gaun malam sumbangan Bill Keith, produk penjagan rambut Zotos bernilai RM500, enam bulan dandanan dan rawatan rambut percuma dari Pro Trim, penginapan di Hotel Legends Cherating dan pelbagai hadiah lain oleh pihak penaja.

Pemenang ketiga pula ialah Deffany Sevelan, Ratu Sabah yang berusia 18 tahun. Beliau menerima wang tunai RM2000, trofi, selempang, gaun malam sumbangan Bill Keith, produk Polignac, barangan National Salon of Elegance, khidmat dandanan dan rawatan rambut tajaan Pro-Trim, barangan pejagaan rambut oleh Zotos, percutian di Hotel Legends Cherating serta pelbagai hadiah pihak penaja yang lain. Deffany juga memenangi gelaran sampingan Miss Polignac Physique serta menerima hadiah tajaan Polignac dan wang tunai. Gelaran-gelaran lain ialah Best In Traditional Costume yang dimenangi oleh Caryna Chan, 25 tahun manakala Miss Crowning Glory pula dimenangi oleh Sabarina Khairuddin, Ratu Perak yang beumur 21 tahun.

Polignac pada tahun ini mendermakan sebanyak RM10,000 kepada Pure Life Society. Pihak penganjur juga mendermakan sejumlah wang tunai kepada Persatuan Autistik Negara, Pusat Spastik Selangor/Kuala Lumpur, Chesire Home dan rumah kanak-kanak dengan kecacatan mental.

Para peserta bertandingan dalam tiga pusingan iaitu pakaian futuristic, pakaian renang, gaun petang. Selepas itu, lapan peserta akhir dipilih untuk sesi soal jawab bagi menentukan para pemenang. Acara kali ini diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan iaitu Dato’ Sabaruddin Chik selaku tetamu kehormat. Rahima Orchient Yayah, Ratu Malaysia 1994 turut hadir memahkotakan pemenang yang baru.Rahima berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya memasuki pusingan separuh akhir dan menduduki tempat ke lapan di pertandingan Miss World 1994.

No comments:

Post a Comment