Ratu Cantik Malaysia/Dunia 1987.
Seramai empat belas peserta akhir dipilih untuk acara tahun ini. Acara kali ini kembali diadakan di Dewan Rampaisari, Hotel Merlin, Subang dan dianjurkan oleh Qualitim Sdn. Bhd. Gelaran ratu tahun ini jatuh kepada seorang model sambilan dan juga penari Barata Natyam berusia 22 tahun dan berketinggian 5 kaki 6 inci iaitu Sheila Shankar. Beliau memenangi wang tunai RM6000, alat solek dan keahlian kelab Bell Kanebo selama setahun, gaun petang sumbangan Fair Lady, kursus kecantikan oleh Dewi Ayu Cosmetic International, selempang, dandanan rambut percuma daripada Michael Ling, tiket penerbangan pergi balik ke Malta dan London beserta penginapan selama dua minggu untuk menyertai Miss World 1987 di Royal Albert Hall.
Tempat kedua jatuh kepada Maljeet Kaur, 21 tahun manakala tempat ketiga dimenangi oleh setiausaha berusia 20 tahun iaitu Catherine Lai. Tempat keempat dimenangi oleh Cindy Leong, 21 tahun. Maljeet memenangi wang tunai RM2000 dan peluang mewakili negara ke pertandingan Miss International di Tokyo, Jepun beserta tiket dan penginapan disediakan manakala Catherine memenangi RM1000 dan Cindy RM500. Mereka juga memenangi alat kosmetik Kanebo dan keahlian Kelab Bell selama enam bulan, gaun petang oleh Fair Lady, dandanan rambut percuma oleh Michael Ling, selempang, trofi, kursus kecantikan oleh Dewi Ayu International serta pelbagai hadiah pihak penaja yang lain.
Walau bagaimanapun, pertandingan ini lebih didominasi oleh insiden melibatkan ratu dan penganjur pertandingan pada tahun lepas yang masih belum selesai sepenuhnya pada masa itu. Hanya selepas campur tangan pengerusi acara iaitu Tan, Sri V. Jeyaratnam, barulah Joan Cardoza naik ke pentas memahkotakan ratu yang baru. Tan Sri V. Jeyaratnam berjanji kepada Joan bahawa penganjur tahun lalu akan menunaikan janji mereka dengan memberi hadiah yang masih tertunggak.
Dalam pertandingan akhir itu, para peserta beraksi dalam pakaian tradisional dan seterusnya gaun petang serta sesi soal jawab bagi menentukan para pemenang. Sheila memakai kebaya songket berwarna hijau serta mengenakan gaun malam berwarna biru pekat ditaburi batu berkilauan di bahagian dada.
No comments:
Post a Comment