Ulasan Ringkas Pertandingan Miss Malaysia World 2000.

Ratu Cantik Malaysia/Dunia 2000

Pertandingan kali ini disertai oleh dua puluh peserta yang mewakili negeri masing-masing. Acara akhir diadakan buat kali kedua di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2000. Nin Jiom dan Orson Wong mengekalkan kedudukan sebagai penaja utama dan penganjur pertandingan. Pertandingan kali ini mendapat penyertaan lebih banyak gadis India. Ini mungkin disebabkan kerana kemenangan Yukta Mookhey, wakil dari India sebagai Miss World 1999.

Walau bagaimanapun, gadis bertuah yang memenangi gelaran Ratu Malaysia/Dunia 2000 ialah Tan Su Wei, seorang model terkenal masa kini yang berusia 23 tahun pada ketika itu. Beliau yang mempunyai ketinggian 5 kaki 9 inci memenangi RM50,000, trofi dan tiara, barangan dan baucer tunai Nin Jiom, produk Polignac, set alat solek Kose, khidmat dandanan dan rawatn rambut oleh Hair Master, tiket pergi balik beserta penginapan di London dan mewakili negara ke pertandingan Miss World 2000 yang diadakan di Millenium Dome pada bulan 30 November.

Tempat kedua dimenangi oleh Andrea Franklin Gomez, wakil Perak berusia 22 tahun. Beliau yangmempunyai ketinggian 5 kaki 10 inci ini pernah menduduki tangga kelima dalam Miss Malaysia/Universe 1999 dan menerima wang tunai RM5000, set kosmetik Kose, selempang dan tiara, hamper dan baucer tunai Nin Jiom serta pelbagai hadiah sumbangan penaja. Seorang atlit kebangsaan iaitu Shaleen Cheah yang berusia 22 tahun memenangi tempat ketiga. Beliau memenangi wang tunai RM2000, hamper tajaan Nin Jiom, set kosmetik Kose serta pelbagai barangan pihak penaja. Beliau mempunyai ketinggian 5 kaki 9 inci.

Para peserta beraksi dalam pakaian renang dan juga kebaya nyonya moden. Mereka juga bertanding dalam pusingan gaun petang. Gaun petang yang mereka gunakan diperingkat akhir adalah sangat unik tetapi menarik kerana ia menggabungkan korset moden dipadankan dengan kain songket berkilauan.Lapan orang peserta akhir dipilih untuk sesi soal jawab sebelum nama para pemenang diumumkan. Jaclyn Lee iaitu ratu tahun yang lalu hadir untuk memahkotakan ratu yang baru.

No comments:

Post a Comment