Ulasan Ringkas Pertandingan Miss Malaysia World 2002.

Ratu Cantik Malaysia/Dunia 2002

Acara tahun ini dianjurkan dengan baik dan disertai para peserta yang berkualiti tinggi yang dipilih melalui pertandingan peringkat-peringkat negeri. Seramai dua puluh peserta akhir menyertai acara tahun ini yang diadakan di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada pelajar universiti dan kolej, ahli perniagaan berjaya dan juga model terkenal. Nin Jiom bertidak selaku penaja utama pertandingan. Coca Coca Light juga merupakan penaja rasmi pertandingan.

Pertandingan kali ini dimenangi oleh Mabel Ng Chin Mei, seorang ahli perniagaan berusia 24 tahun yang mewakili Pulau Pinang. Beliau memenangi wang tunai bernilai RM20,000, set kosmetik tajaan Kose, laman web peribadi tajaan eOneNet.com, khidmat dandanan dan rawatan rambut, pelbagai hadiah pihak penaja, tiket penerbangan pergi balik beserta penginapan dan hak mewakili negara dalam pertandingan Miss World 2002 yang diadakan di Abuja, Nigeria pada 30 November yang kemudiannya dipindahkan ke London atas sebab keselamatan. Beliau pernah memasuki pertandingan edisi tahun 2000 tetapi tidak berjaya memenangi tiga tempat teratas. Cara berjalan yang bagus, ketenangan serta dapat menjawab soalan dengan bernas merupakan faktor kemenangan beliau kali ini.

Tempat kedua jatuh kepada Audrey Chong, wakil Sabah berusia 18 tahun. Beliau yang masih seorang pelajar pada ketika itu memenangi wang tunai, set alat solek Kose, selempang dan trofi serta pelbagai hadiah sumbangan pihak penaja. Tempat ketiga pula jatuh kepada seorang model terkenal dari Kuala Lumpur berusia 22 tahun iaitu Michelle Hon Lai Kuan manakala tempat keempat dimenangi oleh seorang lagi peserta dari Kuala Lumpur iaitu Dennapa Ung Seet Ying, 21 tahun. Para peserta lain yang bertanding ialah Serene Choong dan Pamela Ramachandran (Ms Malaysia Intercontinental) yang mewakili Johor, May Miku yang mewakili Sarawak dan juga Brenda Lam, 19 tahun. Beliau yang mewakili Negeri Sembilan ini juga pernah menduduki tempat kedua di Miss Malaysia/Universe 2001.

Apa yang berlaku dalam pertandingan ini ialah pengurangan hadiah dari RM50,000 ke RM20,000 untuk pemenang pertama. Apa yang lebih pelik ialah keengganan ratu tahun lalu iaitu Sasha Tan memahkotakan ratu yang baru kerana masalah tertentu dan penghormatan memahkotakan Mabel diberikan kepada Datin Sri Ena Ling, isteri kepada Menteri Pengangkutan iaitu Dato’ Sri Ling Liong Sik. Tom Abang Saufi juga melibatkan diri dalam pertandingan kali ini sebagai penaja rasmi dan juga juri. Para peserta memakai pakaian etnik oleh beliau dalam satu pusingan. Betty Ann Brohier, seorang model dan ahli perniagaan terkenal, Alan Lim dari DDB PR dan Rosie Hong daripada Rapp Collins adalah antara juri yang dilantik mengadili pertandingan pada malam itu.

No comments:

Post a Comment