Ratu Cantik Dunia Malaysia: Sejarah Pertandingan-Pengenalan.

Sejarah Pertandingan

Walaupun banyak laporan menunjukkan bahawa Ratu Cantik Malaysia bermula pada 1959 atau pun lebih dikenali sebagai Ratu Cantik Malaya pada masa itu, negara kita hanya menghantar wakil pertama ke pertandingan Ratu Cantik Dunia pada tahun 1963. Wakil negara ke pertandingan antarabangsa itu ialah Catherine Loh. Pada pertandingan tahun itu, beliau berjaya dipilih di antara lapan teratas senarai finalis. Malaysia tidak menyertai pertandingan tahun berikutnya iaitu 1964 tetapi menghantar semula wakil pada tahun 1965 iaitu Clara De Run.

Bermula pada tahun 1968, pemilihan wakil Malaysia dianjurkan oleh Far East Beauty Congress yang diketuai oleh En. Paul Lee, seorang ahli perniagaan Malaysia terkenal masa itu. Beliau mencuri masa terluang menonton Miss World bersama seorang kawan semasa menghadiri Jaycees International Congress di Dublin, Ireland. Kehadiran beliau di ketahui oleh Julia Morley, isteri pengasas Miss World dan selepas itu perjumpaan tidak formal antara mereka telah diadakan di pejabat Mecca International Plc (penganjur Miss World) di London.

Perjumpaan itu adalah atas jemputan Julia Morley sendiri kerana beliau bertujuan mencari pihak yang berminat menjadi penganjur pertandingan peringkat negara untuk Malaysia dan pemenang dihantar untuk bertanding di kota London pada November setiap tahun.

En. Paul Lee mempunyai pengalaman luas dalam menganjurkan pelbagai majlis sosial dan pencarian bakat baru industri seni, dan itulah kriteria yang diperlukan oleh Mecca International Plc. Beliau juga amat bernasib baik kerana Pn. Julia Morley berjanji tidak mengenakan sebarang royalti atau bayaran lesen francais untuk pencarian pertama wakil Malaysia oleh beliau. Apa yang beliau perlukan adalah kepakaran menganjurkan majlis serta penganjur boleh mencari penaja untuk pertandingan dan bakal pemenang pertandingan.

Beliau pulang ke Malaysia dan menubuhkan Far East Beauty Congress (FEBC) iaitu badan yang menganjurkan pertandingan Ratu Cantik Malaysia/ Dunia dan beberapa negara lain. Beliau menjadikan rakan rapat beliau sebagai rakan kongsi serta melantik Tan Sri V. Jeyaratnam sebagai pengerusi FEBC.

No comments:

Post a Comment